Monday, November 10, 2008

Pikom perluas program ke luar negara



PERSATUAN Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menggariskan perancangan jangka panjang ICT di samping mempromosi Finishing School Programme.

Langkah itu bagi mengembangkan industri ICT hingga ke luar negara, diikuti beberapa kerjasama erat dengan persatuan industri ICT yang lain, selain turut bertindak sebagai sekretariat WITSA.

Pengerusinya, David Wong Nan Fay, berkata kerjasama yang dijalin mampu melonjakkan Pikom ke luar negara dengan mengadakan pertukaran idea dan teknologi dalam industri ICT bersama negara luar.

Pikom berusaha membantu syarikat ICT tempatan memasuki pasaran global ini serta memperkenalkan servis, barangan ICT tempatan ke luar negara memandangkan Malaysia masih lagi berada di kedudukan terendah antara negara lain.

“Pikom berharap mampu mengembangkan saiz industri daripada RM40 bilion pada 2007 kepada RM80 bilion pada 2012.

“Ia mampu dicapai dengan perkembangan lebih 15 peratus industri ICT dengan meluaskan urus niaga import dan eksport pada masa yang sama meningkatkan pencapaian syarikat ICT tempatan sekurang-kurangnya RM10 bilion,” kata beliau pada mesyuarat Agung Pikom di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Presiden Pikom, CJ Ang berkata, Pikom mensasarkan penubuhan National ICT Repository (NIR) iaitu sebagai pusat yang menjadi tempat rujukan, penyelidikan, penyimpanan data dan pelbagai perkara berkaitan dengan ICT.

“Ketika ini, NIR masih berada dalam peringkat percubaan dibantu seorang pakar untuk mengenal pasti keperluan pusat terbabit. NIR berkemungkinan beroperasi pada 2009 atau 2010,” katanya.

Pada mesyuarat ke-22 itu, David sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Pikom bagi 2008/2009 manakala dua muka baru ahli majlis Pikom iaitu Pengurus VAIO bahagian Pemasaran Produk, Sony Malaysia, Yoshinori Nakajima dan Pengurus Besar bahagian Inovasi Perniagaan, Celcom, Jeffery Ooi.

0 comments: