Wednesday, November 12, 2008

PC berkuasa dan kos efektif


PEMBEKAL teknologi komputer peribadi terkenal, Lenovo baru-baru ini memperkenalkan komputer ThinkCentre A62 dengan tawaran penyelesaian penjimatan kos dan juga prestasi yang stabil.

Dilengkapi pelbagai ciri menarik, komputer tersebut juga menerajui perkhidmatan dan sokongan industri serta bersifat mesra alam sekitar.

ThinkCentre A62 merupakan komputer peribadi terkini yang dilengkapi penyelesaian pengkomputeran perniagaan dengan kos yang efektif.

Menurut Pengarah Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, komputer tersebut sesuai diaplikasikan oleh bahagian teknologi maklumat (IT) untuk sesebuah syarikat.

‘‘Komputer ini dibangunkan untuk melengkapkan pelanggan dengan aplikasi komputer peribadi yang mempunyai jangka hayat panjang.

‘‘Ia menawarkan nilai tinggi dari segi prestasi, pengurusan dan tanggungjawab kepada alam sekitar,’’ katanya.

Dari segi fungsi pula, komputer berkenaan membekalkan perkhidmatan yang stabil untuk kelas dan komuniti perniagaan.

Dengan pengendalian mudah, pengguna akan dapat menjalankan kerja-kerja seperti mengurus, mengaudit dan mengemaskini sistem.

Model tersebut turut dilengkapi dengan teknologi ThinkVantage yang dapat meningkatkan produktiviti pengurusan secara efektif.

Ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada kakitangan IT memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu kritikal yang lain.

Implementasi komponen TVT pada komputer itu juga membenarkan proses membaikpulih dijalankan dalam masa yang singkat tanpa mengganggu sebarang aplikasi atau data.

Apa yang menarik, aplikasi komputer berkenaan juga dapat menjimatkan tenaga sehingga 40 peratus, selain 35 peratus rekaan bahannya boleh dikitar semula.

‘‘Komputer peribadi Lenovo ThinkCentre A62 ini juga mampu memenuhi keperluan organisasi untuk mencapai tahap produktiviti tertentu,’’ jelasnya.

Untuk prestasi grafik pula, ia dimajukan dengan teknologi DirectX10 Onboard yang disokong oleh pilihan DisplayPort4.

Ia juga didatangkan dengan monitor ThinkVision L197w yang dapat menjimatkan kuasa selain tawaran jaminan selama tiga tahun.

0 comments: