Friday, November 21, 2008

Monitor LCD kaya warna


VIEWSONIC Corp., melebarkan lagi rangkaian produk paparan monitor komputernya dengan memperkenalkan monitor LCD 22 inci yang dipacu dengan sistem pemproses berkelajuan 120Hz.

Berteraskan sistem pemprosesan berteknologi 120Hz, pengguna kini berpeluang untuk menikmati imej paparan yang kaya dengan warna, tanpa kabur dan prestasi unggul ketika melayari tontonan multimedia.

Lebih menarik, menerusi penyepaduan teknologi NVIDIA GeForce Stereoscopic 3D gaming, para penggemar permainan komputer pasti teruja dengan paparan tiga dimensi yang bakal dipaparkan.

Ini kerana monitor tersebut mempamerkan prestasi cemerlang dengan kemampuan memberikan masa tindak balas yang begitu pantas iaitu secepat tiga milisesaat (ms).

Tindak balas pantas itu juga membuatkan sebarang aksi pantas yang dipaparkan tidak tersangkut-sangkut dan ini secara tidak langsung membuatkan imej paparan menjadi terang, jelas dan licin.

Monitor berteknologi tinggi ini disasarkan penggunaannya kepada golongan yang gemar bermain permainan komputer, menonton paparan multimedia seperti cerita animasi dan hiburan serta para pereka grafik.

Selain itu, monitor itu turut dilengkapi dengan sistem pembesar suara stereo 2Wx2 yang terbina dalam yang pasti menjanjikan kesan audio yang terbaik kepada pengguna.

Di samping itu juga, monitor tersebut turut didatangkan dengan dua input digital Dual Link DVI khusus bagi pengguna untuk menyelaraskan gajet lain terhadap monitor itu.

Dalam pada itu, prestasi monitor tersebut dimantapkan dengan penawaran resolusi yang mencapai 1,680 x 1,050 megapiksel, nisbah kontras 1000:1 serta sudut tontonan yang luas.

Bagaimanapun, model bagi monitor ini masih belum boleh didapati di pasaran tempatan dan sekiranya ingin mendapatkan maklumat serta spesifikasi lengkap mengenai produk, ia boleh didapati dengan melayari laman web ap.viewsonic.com/my.

0 comments: