Thursday, November 27, 2008

Bunyi pelbagai arah


MENYAMBUNGKAN alat pembesar suara luaran terhadap komputer pengguna jelas mempertingkatkan lagi kualiti serta pengalaman audio pengguna.

Ini kerana kesan bunyi audio yang dihasilkan menerusi pembesar suara terbina dalam komputer dianggap tidak memadai untuk memenuhi keperluan audio pengguna kerana bunyi yang dihasilkan nyata perlahan dan tidak jelas.

Justeru, Logitech pembangun perkakas audio dan komputer global telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pembesar suara stereo terbarunya iaitu Logitech Z-5 yang diyakini mampu menyerlahkan lagi pengalaman audio pengguna masa kini.

Z-5 yang dibangunkan untuk berfungsi menala bunyi pelbagai arah (omnidirectional) itu dikatakan berkemampuan dalam memberikan pengalaman audio terbaik dengan memenuhi kepadatan bunyi pada seluruh ruang bilik.

Tidak seperti pembesar suara komputer standard, Z-5 membawa kelainan dengan kehadiran sistem akustik omnidirectional yang memastikan bunyi tidak hanya difokuskan pada satu arah sahaja.

Pada kebiasaannya, ciri istimewa ini boleh diterapkan pada pembesar-pembesar suara yang digunakan untuk sistem teater rumah.

Lebih menarik, Z-5 bukan sahaja menghasilkan bunyi pada arah 180 darjah, malah ia turut berkeupayaan untuk menala bunyi hampir mencapai 360 darjah.

Selain berupaya menghasilkan kesan audio yang berkualiti, penggunaannya yang fleksibel membolehkan Z-5 disambungkan kepada mana-mana komputer yang mempunyai sambungan USB dan ini juga termasuk rangkaian komputer Mac.

Dengan itu, tidak kira sama ada seseorang itu sedang menikmati lagu kegemaran mahupun menonton video pada laman web YouTube, pengguna pasti berpeluang untuk menikmati kesan bunyi yang jelas, terang dan berkualiti selain gangguan bunyi yang minimum.

Sebagai tambahan, model pembesar suara Z-5 ini hadir dengan alat kawalan jauh dan sekali gus membolehkan pengguna untuk mengawal tahap bunyi dari jauh dengan bebas.

Kini, Z-5 sudah boleh diperoleh di pasaran tempatan dengan harga RM459.

Maklumat dan spesifikasi lengkap produk boleh didapati dengan melayari laman web www.logitech.com.


0 comments: