Tuesday, January 27, 2009

Komputer peribadi dengan sambungan 3G


UNTUK memastikan pengguna sentiasa berkomunikasi dalam dunia tanpa sempadan, kebanyakan model telefon bimbit sudah pun menawarkan aplikasi sambungan rangkaian 3G.

Tidak cukup dengan itu, komputer peribadi (PC) juga kini telah dilengkapkan dengan aplikasi berkenaan sebagai alternatif kepada kawasan yang sukar untuk mendapatkan akses Internet.

Inisiatif tersebut sebenarnya telah dijalankan oleh syarikat pengeluar komputer, Qualcomm Incorporated dalam menghasilkan sebuah PC dengan aplikasi sambungan Internet wayarles berkelajuan tinggi.

Komputer yang diberi nama Kayak itu didatangkan dengan sambungan jalur lebar 3G tersedia tanpa memerlukan peranti atau aksesori luar secara berasingan.

Secara asasnya, fungsi tersebut dipacu oleh stesen mobiliti Qualcomm Dual Core dengan siri set cip MSM7xxx.

Antara ciri yang ditawarkan oleh Kayak adalah seperti aplikasi pelayaran web 2.0, pelayaran menerusi perisian Opera dengan resolusi desktop, menyokong aplikasi televisyen serta sesuai digunakan bersama peralatan asas seperti tetikus, papan kekunci, permainan muzik dan konsol permainan video.

Naib Presiden Pemasaran Korporat Inventec Corporation, Mark Hirsch berkata, pengenalan komputer tersebut bakal merancakkan industri telekomunikasi dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Pengurusan Produk Qualcomm CDMA Technologies, Luis Pineda berkata, komputer tersebut bakal membawa era baru dalam komuniti internet secara global.

Maklumat lanjut mengenai produk berkenaan boleh diperolehi di laman web www.qualcomm.com.


Monday, January 19, 2009


FUNGSI dan kelebihan dunia pengkomputeran mobiliti sememangnya tidak dapat disangkal lagi kerana ia membenarkan aktiviti komunikasi dilaksanakan di mana-mana sahaja.

Namun, kemajuan tersebut tidak bermakna kita melupakan aplikasi pada komputer peribadi (PC) yang merupakan peneraju dalam industri pembangunan komputer serta pernah mengalami zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, PC mempunyai kelebihannya tersendiri dalam mengaplikasikan pelbagai tugasan seperti di pejabat, sekolah, pusat pengajian tinggi, kafe siber dan di rumah sendiri.

Menyedari komputer jenis tersebut masih diterima pengguna, syarikat pengeluar komputer terkenal, NEC Computers Asia Pacific Sdn. Bhd. (NEC) baru-baru ini telah memperkenalkan komputer peribadi NEC Powermate All In One model P4000 dan P6000.

Memperbaharui siri NEC Powermate P3000 dan P5000 dari segi aplikasi dan peningkatan kuasa, model tersebut juga dilengkapi dengan sistem hiburan terbaik.

Dengan inovasi rekaan sentuhan Jepun, ia menawarkan konsep penjimatan ruang yang diintegrasikan bersama teknologi unik dan sofistikated mengikut trend semasa.

Kelebihan tersebut pastinya bakal melengkapkan kehidupan pengguna menerusi keseronokan menonton filem kegemaran, mendengar muzik, permainan video, pelayaran web dan komunikasi secara dalam talian.

Dari sudut teknikal, kedua-dua model tersebut dibangunkan melalui kelengkapan dan perisian terkini dengan prestasi video, audio dan hiburan digital berkualiti tinggi.

Menurut Pengarah Eksekutif Pasaran Komputer Asia Pasifik, Makoto Iwasaki, pihaknya yakin, dengan pengalaman luas dalam pasaran komputer, produk terbaru itu mampu memenuhi permintaan pengguna terhadap komputer berkuasa.

''Teknologi ini direka untuk pengguna yang menginginkan kelainan dalam fungsi PC mereka,'' katanya.

Dipacu oleh pemproses Intel Core 2 Duo E7200 bersama sistem operasi Windows Vista Home Premium, model tersebut juga dilengkapi dengan ruang simpanan cakera keras sehingga 500 gigabait (GB).

Kesempurnaannya diserlahkan lagi dengan tawaran paparan skrin 19 inci WXGA dengan teknologi NEC Smart Super Shine View EX dan juga lampu LCD berkembar.

Untuk ciri multimedia pula, komputer itu dilengkapi dengan sambungan LAN 802.11b/g/n wayarles, aplikasi kad bacaan multimedia 13 dalam 1, pemacu DVD pintar serta sambungan USB.

Kedua- dua model P4000 dan P6000 masing-masing boleh diperolehi dengan harga RM3,299 dan RM4,299.


Saturday, January 17, 2009


Windows Live generasi baru kini semakin meriah dengan pelbagai pengalaman baru seperti perkongsian gambar, e-mel, mesej segera dan banyak lagi.

Ciri-ciri ini termasuk

- Ciri sosial yang membenarkan pengguna mengakses Windows Live SkyDrive bagi penyimpanan atas talian 25GB.

- Windows Live Messenger yang lebih bersifat peribadi dengan perkongsian gambar lebih mudah dengan drag and drop dalam tingkap perbualan.

- Window Live Hotmail membawa perubahan kepada pengguna dengan mengumpulkan pelbagai akaun e-mel, meningkatkan penyimpanan dan memudahkan berkongsi kalendar dengan yang lain dan menggunakan kalendar dengan Microsoft Outlook.

- Windows Live Group untuk satu kumpulan berbual dalam talian termasuk berkongsi kalendar, alamat e-mel dan mesej segera.

Selain itu Windows Live juga telah menjadi lebih tempatan.

Semua Window Live dan MSN termasuk Messenger, Hotmail dan Spaces sekarang telah mempunyai keupayaan bahasa tempatan dengan menawarkan pengguna peluang untuk Menjelajah, Komunikasi dan Berkongsi dalam bahasa yang mudah difahami dan selesa.

Selain Bahasa Malaysia, Windows Live juga menyediakan keupayaan bahasa tempatan dalam 48 bahasa termasuk Bahasa Indonesia, Thailand dan Vietnam.


Sunday, January 4, 2009

Manfaat program blogging







Seramai 16 pelajar mencatat tujuh dan lapan A dalam peperiksaan PMR (2005) di SMK Tunku Sulong, Kedah sejak mereka diperkenalkan dengan program blogging.







MESKIPUN perdebatan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) masih belum reda, namun ia sedikit pun tidak menghalang inisiatif British Council untuk terus memperkasakan bahasa Inggeris.

Usaha British Council ini adalah untuk melatih guru memperkukuhkan ikatan antara sistem pendidikan Malaysia dan United Kingdom serta menyokong pembelajaran dan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia.

Ia dilakukan menerusi jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan yang mengadakan latihan sewaktu bekerja bagi para pelatih dan guru yang turut disokong oleh para penaja (HSBC dan Time Engineering).

Tidak hairanlah British Council diiktiraf sebagai pakar global berkenaan pendidikan bahasa Inggeris.

Menyedari negara semakin maju dan sebagai persediaan menjelang abad ke-21, British Council melancarkan penggunaan teknologi di dalam kelas bagi menarik minat pelajar untuk terus mendalami ilmu bahasa Inggeris dengan menggunakan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) seperti komputer dan Internet.

Menurut guru bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Sulong, Kedah, Zur'aiza Abdul Hamid, dalam memastikan pelajar meminati dan mempertingkat ilmu bahasa Inggeris, beliau mengggunakan kaedah ICT yang disaran oleh pihak British Council