Tuesday, January 27, 2009

Komputer peribadi dengan sambungan 3G


UNTUK memastikan pengguna sentiasa berkomunikasi dalam dunia tanpa sempadan, kebanyakan model telefon bimbit sudah pun menawarkan aplikasi sambungan rangkaian 3G.

Tidak cukup dengan itu, komputer peribadi (PC) juga kini telah dilengkapkan dengan aplikasi berkenaan sebagai alternatif kepada kawasan yang sukar untuk mendapatkan akses Internet.

Inisiatif tersebut sebenarnya telah dijalankan oleh syarikat pengeluar komputer, Qualcomm Incorporated dalam menghasilkan sebuah PC dengan aplikasi sambungan Internet wayarles berkelajuan tinggi.

Komputer yang diberi nama Kayak itu didatangkan dengan sambungan jalur lebar 3G tersedia tanpa memerlukan peranti atau aksesori luar secara berasingan.

Secara asasnya, fungsi tersebut dipacu oleh stesen mobiliti Qualcomm Dual Core dengan siri set cip MSM7xxx.

Antara ciri yang ditawarkan oleh Kayak adalah seperti aplikasi pelayaran web 2.0, pelayaran menerusi perisian Opera dengan resolusi desktop, menyokong aplikasi televisyen serta sesuai digunakan bersama peralatan asas seperti tetikus, papan kekunci, permainan muzik dan konsol permainan video.

Naib Presiden Pemasaran Korporat Inventec Corporation, Mark Hirsch berkata, pengenalan komputer tersebut bakal merancakkan industri telekomunikasi dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Pengurusan Produk Qualcomm CDMA Technologies, Luis Pineda berkata, komputer tersebut bakal membawa era baru dalam komuniti internet secara global.

Maklumat lanjut mengenai produk berkenaan boleh diperolehi di laman web www.qualcomm.com.


0 comments: