Monday, January 19, 2009


FUNGSI dan kelebihan dunia pengkomputeran mobiliti sememangnya tidak dapat disangkal lagi kerana ia membenarkan aktiviti komunikasi dilaksanakan di mana-mana sahaja.

Namun, kemajuan tersebut tidak bermakna kita melupakan aplikasi pada komputer peribadi (PC) yang merupakan peneraju dalam industri pembangunan komputer serta pernah mengalami zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, PC mempunyai kelebihannya tersendiri dalam mengaplikasikan pelbagai tugasan seperti di pejabat, sekolah, pusat pengajian tinggi, kafe siber dan di rumah sendiri.

Menyedari komputer jenis tersebut masih diterima pengguna, syarikat pengeluar komputer terkenal, NEC Computers Asia Pacific Sdn. Bhd. (NEC) baru-baru ini telah memperkenalkan komputer peribadi NEC Powermate All In One model P4000 dan P6000.

Memperbaharui siri NEC Powermate P3000 dan P5000 dari segi aplikasi dan peningkatan kuasa, model tersebut juga dilengkapi dengan sistem hiburan terbaik.

Dengan inovasi rekaan sentuhan Jepun, ia menawarkan konsep penjimatan ruang yang diintegrasikan bersama teknologi unik dan sofistikated mengikut trend semasa.

Kelebihan tersebut pastinya bakal melengkapkan kehidupan pengguna menerusi keseronokan menonton filem kegemaran, mendengar muzik, permainan video, pelayaran web dan komunikasi secara dalam talian.

Dari sudut teknikal, kedua-dua model tersebut dibangunkan melalui kelengkapan dan perisian terkini dengan prestasi video, audio dan hiburan digital berkualiti tinggi.

Menurut Pengarah Eksekutif Pasaran Komputer Asia Pasifik, Makoto Iwasaki, pihaknya yakin, dengan pengalaman luas dalam pasaran komputer, produk terbaru itu mampu memenuhi permintaan pengguna terhadap komputer berkuasa.

''Teknologi ini direka untuk pengguna yang menginginkan kelainan dalam fungsi PC mereka,'' katanya.

Dipacu oleh pemproses Intel Core 2 Duo E7200 bersama sistem operasi Windows Vista Home Premium, model tersebut juga dilengkapi dengan ruang simpanan cakera keras sehingga 500 gigabait (GB).

Kesempurnaannya diserlahkan lagi dengan tawaran paparan skrin 19 inci WXGA dengan teknologi NEC Smart Super Shine View EX dan juga lampu LCD berkembar.

Untuk ciri multimedia pula, komputer itu dilengkapi dengan sambungan LAN 802.11b/g/n wayarles, aplikasi kad bacaan multimedia 13 dalam 1, pemacu DVD pintar serta sambungan USB.

Kedua- dua model P4000 dan P6000 masing-masing boleh diperolehi dengan harga RM3,299 dan RM4,299.


0 comments: