Wednesday, December 10, 2008

Canon Pixma penuhi keperluan cetakan ringkas


CANON Marketing (Malaysia), pembekal rumusan fotografi dan pengimejan digital, memperbaharui rangkaian pencetaknya dengan memperkenalkan pencetak foto digital serba guna siri Pixma yang dilengkapi dengan ciri serta fungsi berasaskan teknologi terkini.

Siri rangkaian pencetak Pixma yang membariskan model iP4680, iP3680 dan iP1980 itu dikatakan berupaya menawarkan penyelesaian pencetakan kepada pengguna dalam memenuhi keperluan pencetakan ringkas.

Rangkaian tersebut yang disasarkan bagi kegunaan isi rumah, dan industri kecil dan sederhana (SME) diyakini mampu menghasilkan cetakan dokumen ringkas sehingga cetakan foto digital.

Keseluruhan siri pencetak terbaru itu hadir dengan teknologi Auto Photo Fix yang membolehkan kemudahan fungsi Red Eye Removal dapat diaplikasikan pada cetakan.

Ini bermakna pengguna berupaya untuk membuat proses mengedit ringkas sebelum cetakan.

Selain itu, cetakan pengguna diserlahkan lagi dengan kehadiran perisian pintar Easy Photo Print-Ex yang diselaraskan pada ketiga-tiga model pencetak itu.

Bagaimanapun, keseluruhan rangkaian pencetak Pixma ini mempunyai ciri-ciri kelebihan tersendiri sekali gus membezakan fungsi bagi setiap model.

Pixma iP4680 yang merupakan pencetak foto premium adalah sebuah pencetak yang menonjolkan fungsi dupleks yang mampu mencetak dokumen pada kedua-dua bahagian muka surat selain menyokong cetakan menerusi cakera DVD dan juga VCD.

Model ini turut memperlihatkan fungsi pencetakan laju dengan mencetak foto bersaiz 4 x 6 inci pada kelajuan 20 saat selain membolehkan pengguna membuat cetakan gambar tanpa sempadan sehingga saiz A4.

Bagi model Pixma iP3680 pula, ia menonjolkan ciri pencetak dakwat berasingan bagi menghasilkan cetakan warna berkualiti.

Ini bermakna hasil cetakan dakwat tidak bersepah dan dokumen serta foto yang dihasilkan mempunyai ketahanan warna lebih baik.

Dengan kelajuan 41 saat, pengguna kini berupaya untuk mencetak foto hingga ke saiz 4 x 6 inci menerusi model tersebut.

Sementara itu, model iP1980 turut menawarkan ciri dan fungsi yang sama seperti kedua-dua model siri rangkaian Pixma, tetapi pada kelajuan 55 saat.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga model pencetak siri Pixma ini menjanjikan hasil cetakan dokumen yang tepat, tajam dan berkualiti, manakala cetakan foto mempamerkan elemen semula jadi, tahan lama, terang lagi berkualiti dari segi warna, ton dan kontras.

Kini kesemua siri pencetak Pixma iP4680, iP3680 dan iP1980 sudah boleh didapati di pasaran tempatan dengan harga runcit yang ditawarkan pada harga RM508, RM338 dan RM188.

Maklumat dan spesifikasi lengkap produk boleh didapati di laman web www.canon.com.my.


0 comments: