Tuesday, March 24, 2009

Tetikus wayarles edisi baru


Pengguna di negara ini bakal menikmati dua produk Microsoft yang dijangka berada di pasaran dalam tempoh terdekat

Tetikus SideWinder X8 yang terbaru menggunakan teknologi pengesanan dengan menggabungkan semua ciri-ciri terbaik bagi perkakasan untuk pemain permainan video.

Produk tersebut menggunakan teknologi yang menjadikannya lebih pantas dalam penggunaan pada kadar pengesanan 250 ke 4,000 dots setiap inci (dpi).

BlueTrack juga merupakan paling canggih dalam dalam pengesanan teknologi laser dan optik membolehkan tetikus tersebut digunakan dalam pelbagai permukaan selain kaca dan cermin.

Ia menggunakan teknologi wayarles 2.4GHz, dan mempunyai ciri-ciri inovatif sistem play-and-charge bagi membolehkan permainan video dinikmati tanpa henti dalam tempoh 30 jam.

Tetikus tersebut direka bentuk untuk penggemar permainan video prestasi tinggi.

Tetikus Arc pula kelihatan lebih bergaya, unik dan reka bentuknya yang meyakinkan.

Dengan reka bentuknya yang kecil mudah digunakan , khususnya pengguna laptop yang sentiasa mengembara kerana ia tidak perlu ditanggalkan daripada peralatan tersebut.

Produk inovatif itu tampil dengan edisi baru pada Februari lalu pada harga RM599 manakala edisi merah dan hitam pada harga RM199.

Tetikus X8 pula berada di pasaran pada bulan lepas pada harga runcit RM299.


Kawal dengan pelbagai sentuhan


MENERAJUI penghasilan komputer riba dengan fungsi sentuhan, Dell baru-baru tampil dengan model Latitude XT2 menerusi peningkatan dari segi prestasi dan juga sekuriti.

Kelebihan pada fungsi sentuhan itu mampu menerima pelbagai gerakan natural seperti skrol, leretan, pusingan dan pemfokusan dengan disokong oleh aplikasi produktiviti.

Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna untuk mengaplikasikan sepenuhnya teknologi sentuhan skrin yang ditawarkannya.

Selain itu, fungsi berkenaan juga menawarkan ketepatan yang tinggi untuk setiap sentuhan walaupun menyentuh ikon yang kecil tanpa berlaku sebarang gangguan atau kesilapan.

Menurut Pengarah Produk Kumpulan Dell, Brett Mc Anally, pengenalan kepada produk berkenaan merupakan komitmen pihaknya dalam memberi revolusi dan pengalaman mobiliti terbaik kepada pengguna.

"Berbanding generasi sebelum ini, pelbagai peningkatan prestasi diperkenalkan pada Latitude XT2 dalam usaha membantu pengurusan aplikasi yang lebih baik,'' katanya.

Dari segi rekaannya pula, ia mempunyai banyak kelebihan seperti lebih ringan dan juga nipis serta mudah untuk di bawa ke mana-mana.

Kuasa bateri pada Latitude XT2 juga mampu bertahan sehingga 11 jam kerana ia dilengkapi dengan enam sel bateri selain sembilan sel sebagai pilihan.

Ciri lainnya adalah seperti didatangkan dengan aplikasi pilihan Dell ProSupport, rekaan LCD dengan antena wayarles, disokong oleh pemacu SATA serta dilengkapi sistem sekuriti Dell ControlVault dan ControlPoint Security Manager.

Bagi memberi fleksibiliti kepada pengguna, model itu turut ditawarkan dengan papan kekunci saiz penuh dan pen penyentuh.

Latitude XT2 ditawarkan pada harga RM7,500 dan maklumat mengenainya boleh diperolehi di laman web www.dell.com/latitude.


Wednesday, March 11, 2009

P1 WiMAX jalur lebar terpantas tanpa wayar

Sebagai pengguna tentu saja, kita mahukan produk yang bermutu dengan harga yang mampu dimiliki.

Terkini Packet One Networks (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) melancarkan perkhidmatan WiMAX atau singkatannya Worldwide Interoperability of Microwave Acess di negara ini.

WiMax merupakan jalur lebar berkelajuan tinggi yang membolehkan pengguna mengakses Internet dengan pantas menerusi jalur lebar tanpa wayar.

Secara tidak langsung, kesediaan WiMAX oleh P1 meletakkan negara di persada dunia dengan adanya inisiatif kerajaan mengeluarkan lesen.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Micheal Lai berkata, WiMAX merupakan teknologi jalur lebar tanpa wayar yang berkembang dengan pantas di dunia.

Teknologi termaju WiMAX boleh merapatkan jurang digital pada penduduk di kawasan luar bandar.

Buat masa sekarang, kadar penggunaan Internet di negara ini hanya tujuh peratus berbanding dengan populasi.

Teknologi jalur lebar tanpa wayar WiMAX tidak memerlukan kabel dan ia amat sesuai digunakan di kawasan luar bandar bagi mengatasi jurang digital.

Micheal meramalkan gaya hidup masyarakat akan berubah apabila Internet bukanlah satu bentuk kehendak tetapi keperluan dan kewajipan yang perlu ada pada setiap individu.

Mengambil contoh telefon bimbit yang dahulunya melambangkan kemewahan, kini telah menjadi keperluan pada setiap individu dalam masyarakat dengan penggunaan telefon bimbit mencapai 93 peratus dalam masa tidak sampai 10 tahun.

"Tidak mustahil Internet akan menjadi keperluan dan bakal mengubah gaya hidup dan landskap rakyat negara ini," jelas beliau.

Micheal yakin dalam masa 10 tahun, penggunaan Internet akan menyamai telefon bimbit dengan 60 hingga 70 peratus.

Ini ditambah dengan perkembangan ekonomi yang memerlukan perhubungan jalur lebar tanpa wayar.

Misalnya pendidikan jarak jauh memerlukan sambungan jalur lebar yang baik bagi memudahkan pembelajaran menerusi telepersidangan.

Dalam teleperubatan, jalur lebar tanpa wayar yang baik amat diperlukan bagi memudahkan perhubungan antara doktor dan pesakit.

Pesakit tidak perlu berulang-alik ke hospital tetapi hanya mengambil data yang diperlukan dan dihantar terus ke doktor untuk dianalisis menerusi jalur lebar tanpa wayar.

Dalam e-dagang, jalur lebar tanpa wayar amat diperlukan dalam pemasaran dan promosi melalui Internet ke seluruh dunia.

Internet juga boleh mengubah gaya hidup dengan menjadi sumber hidup, memudahkan memuat turun video dan lagu.

Bagaimanapun jalur lebar tanpa wayar tidak akan berkembang tanpa devise network application (DNA) yang baik.

Tidak lama lagi P1 dengan kerjasama beberapa syarikat lain akan mengeluarkan peralatan untuk memudahkan akses terus kepada jalur lebar tanpa wayar WiMAX seperti komputer mudah alih.

Pada masa depan kemungkinan peralatan seperti PSP, kamera, mp3 dan mp4 akan mempunyai WiMax terbina dalam bagi membolehkan pengguna mengakses Internet.

Tidak mustahil suatu hari nanti nelayan mendapat maklumat mengenai cuaca hanya di hujung jari saja.

Manakala petani pula mendapatkan harga pasaran sayuran di Internet.

Kini kadar penggunaan Internet di rumah perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Antara kelebihan WiMAX adalah:

l tanpa wayar

l dibina bagi jarak sejauh 30 hingga

50 kilometer

l kelajuan

l mudah alih

l mudah digunakan

Menjelang akhir tahun Intel akan mengeluarkan komputer riba dengan WiMAX bina dalam.

Ekosistem WiMAX dapat merapatkan jurang digital dan tidak semestinya dengan komputer.

Micheal berkata, pihaknya menyasarkan 50 peratus penggunaan Internet di seluruh negara.

Pada masa ini, liputan WiMAX adalah di Kuala Lumpur, Johor Bharu, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis.

WiMAX menyasarkan 40 hingga 45 peratus penduduk Semenanjung Malaysia dan akan mula ke Sabah dan Sarawak menjelang 2010.