Wednesday, December 17, 2008

Keunggulan REGZA menakjubkan


MENYAMBUNG kecemerlangan prestasi televisyen berskrin LCD REGZA, syarikat pengeluar perkakas elektrik terkenal, Toshiba Sales and Services Sdn. Bhd. baru-baru ini telah tampil dengan model terkini RV500 dan AV550.

Melalui pengenalan tersebut, RV500 didatangkan dengan resolusi berdefinisi tinggi (HD) manakala AV5500 pula dilengkapi dengan fungsi HD Siap Sedia.

Keunggulan teknologi untuk kedua-dua model tersebut dilengkapkan lagi dengan kombinasi teknologi Power Meta Brain yang terkenal dengan keupayaannya menghasilkan gambar nyata, bersih, jelas, licin dan asli.

Menggunakan pemprosesan 10 bit, siri RV500 mempunyai kelebihan 1,080p dengan jaminan mutu dan impak gambar yang cemerlang.

Penjanaan sistem pemprosesan 10 bit tersebut mampu menghasilkan lebih satu bilion warna bagi setiap peringkat bermula dari input sehinggalah ke output di samping memaparkan peralihan warna yang lebih lancar.

Dari segi rekaannya, model berkenaan menampilkan bingkai baru yang rapi dengan sentuhan perak menyerlahkan lagi gaya kontemporari sesebuah kediaman.

Selain itu, menerusi teknologi Sensor Cahaya Sekitar Pintar pula, model berkenaan berupaya bertindakbalas mengikut keadaan pencahayaan di dalam sebuah bilik serta fungsi penyelarasan kontras untuk paparan mutu gambar yang optimum.

Kawalan keseluruhan sistem televisyen juga akan menjadi mudah melalui aplikasi Antaramuka Multimedia Berdefinisi Tinggi (HDMITM) yang boleh menerima isyarat digital secara terus.

Oleh itu, penonton dapat menikmati video dan audio daripada sumber digital seperti alat pemain DVD, permainan video atau komputer dengan kualiti yang lebih baik.

Untuk tujuan itu, penonton hanya perlu mengawal sistem tersebut secara lebih mudah menerusi alat kawalan jauh REGZA.

Bagi siri AV550 pula, peralihan pada warna hitamnya adalah lebih halus dan terperinci melalui penyelarasan analisis kecerahan pada bahagian yang gelap di dalam gambar.

Dari segi pengurusan warna, kedua-dua model berkenaan membolehkan pengguna mengawal rona dan kecerahan warna untuk paparan yang lebih hebat.

Tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, REGZA siri RV500 dan AV550 dibangunkan dengan penjimatan tenaga sehingga 25 peratus serta dibina dengan bahan yang lebih ringan.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web www.toshiba.com.my.


Wednesday, December 10, 2008

Canon Pixma penuhi keperluan cetakan ringkas


CANON Marketing (Malaysia), pembekal rumusan fotografi dan pengimejan digital, memperbaharui rangkaian pencetaknya dengan memperkenalkan pencetak foto digital serba guna siri Pixma yang dilengkapi dengan ciri serta fungsi berasaskan teknologi terkini.

Siri rangkaian pencetak Pixma yang membariskan model iP4680, iP3680 dan iP1980 itu dikatakan berupaya menawarkan penyelesaian pencetakan kepada pengguna dalam memenuhi keperluan pencetakan ringkas.

Rangkaian tersebut yang disasarkan bagi kegunaan isi rumah, dan industri kecil dan sederhana (SME) diyakini mampu menghasilkan cetakan dokumen ringkas sehingga cetakan foto digital.

Keseluruhan siri pencetak terbaru itu hadir dengan teknologi Auto Photo Fix yang membolehkan kemudahan fungsi Red Eye Removal dapat diaplikasikan pada cetakan.

Ini bermakna pengguna berupaya untuk membuat proses mengedit ringkas sebelum cetakan.

Selain itu, cetakan pengguna diserlahkan lagi dengan kehadiran perisian pintar Easy Photo Print-Ex yang diselaraskan pada ketiga-tiga model pencetak itu.

Bagaimanapun, keseluruhan rangkaian pencetak Pixma ini mempunyai ciri-ciri kelebihan tersendiri sekali gus membezakan fungsi bagi setiap model.

Pixma iP4680 yang merupakan pencetak foto premium adalah sebuah pencetak yang menonjolkan fungsi dupleks yang mampu mencetak dokumen pada kedua-dua bahagian muka surat selain menyokong cetakan menerusi cakera DVD dan juga VCD.

Model ini turut memperlihatkan fungsi pencetakan laju dengan mencetak foto bersaiz 4 x 6 inci pada kelajuan 20 saat selain membolehkan pengguna membuat cetakan gambar tanpa sempadan sehingga saiz A4.

Bagi model Pixma iP3680 pula, ia menonjolkan ciri pencetak dakwat berasingan bagi menghasilkan cetakan warna berkualiti.

Ini bermakna hasil cetakan dakwat tidak bersepah dan dokumen serta foto yang dihasilkan mempunyai ketahanan warna lebih baik.

Dengan kelajuan 41 saat, pengguna kini berupaya untuk mencetak foto hingga ke saiz 4 x 6 inci menerusi model tersebut.

Sementara itu, model iP1980 turut menawarkan ciri dan fungsi yang sama seperti kedua-dua model siri rangkaian Pixma, tetapi pada kelajuan 55 saat.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga model pencetak siri Pixma ini menjanjikan hasil cetakan dokumen yang tepat, tajam dan berkualiti, manakala cetakan foto mempamerkan elemen semula jadi, tahan lama, terang lagi berkualiti dari segi warna, ton dan kontras.

Kini kesemua siri pencetak Pixma iP4680, iP3680 dan iP1980 sudah boleh didapati di pasaran tempatan dengan harga runcit yang ditawarkan pada harga RM508, RM338 dan RM188.

Maklumat dan spesifikasi lengkap produk boleh didapati di laman web www.canon.com.my.


Thursday, December 4, 2008

Microsoft-Dell pengalaman baru pengguna


Pengguna yang gemarkan perkembangan teknologi terkini tentu saja suka mencuba sebelum memilih untuk membeli.

Justeru dua syarikat tekonologi terkemuka global, Microsoft Malaysia dan Dell melancarkan pembukaan Microsoft-Dell Retail Experience Store yang pertama di Asia.

Terletak di Kompleks Beli-belah Mid Valley Megamall merupakan kedai konsep pertama bagi Dell di rantau ini di mana pelanggan berpeluang menikmati pengalaman membiasakan diri dengan produk Dell.

Butik seluas 1.200 kaki persegi ini akan mempamerkan desktop dan komputer riba terbaru Dell dengan perisian tulen Microsoft secara eksklusif.

Di sana pelanggan ditawarkan dengan pelbagai produk Dell yang menggunakan Windows Vista dan Microsoft Office.

Tidak hanya sebagai saluran pengedaran terus, kedai konsep ini juga menawarkan sokongan selepas belian, seminar mini dan penjualan bina untuk jual bagi memenuhi pelbagai pilihan pengguna.

Pengarah, Kumpulan Pelanggan Windows, Microsoft Malaysia, KT Ng berkata, pihaknya mempunyai pelbagai peringkat kemudahan dengan pelanggan.

"Kedai konsep kami akan memberikan khidmat nasihat kepada pelajar, suri rumah, peminat permainan komputer dan perniaga kecil.

"Kami mahu menyediakan tempat di mana pelanggan dapat menggunakan produk kami menerusi Experience Zone," katanya semasa majlis pelancaran Retail Experience Store di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ng berkata, di sana pelanggan boleh meningkatkan perisian atau membeli yang baru atau permainan komputer kerana terdapat kumpulan Microsoft dan Dell yang akan membantu mereka membuat keputusan.

"Semua ini adalah mengenai gaya hidup digital di hujung jari anda," katanya.

Sementara Pengurus Kanan Pemasaran Pelanggan ASEAN Dell, Ivan Omar berkata, Malaysia adalah pelanggan yang penting berdasarkan kepada pertumbuhan perniagaan di Asia.

"Pelanggan Malaysia mempunyai pengetahuan IT yang tinggi dan kami percaya dengan berkongsi dengan syarikat perisian terkemuka dunia serta memilih lokasi yang strategik, kami boleh menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan di sini," katanya.

Perkongsian antara kedua-dua, Microsoft dan Dell akan membantu kemasukan Dell ke negara ini selain meningkatkan pasaran Vista dan Microsoft Office.