Saturday, May 23, 2009

SKALI tawar peluang kerjaya bidang IT


SEAKAN menjadi trend, setiap kali berlakunya kegawatan ekonomi, banyak syarikat perniagaan mengambil keputusan untuk memberhentikan pekerja mereka.

Namun, hakikat berkenaan tidak boleh diketepikan kerana tindakan itu diambil bertujuan untuk mengurangkan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh sesebuah syarikat bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

Secara puratanya, hampir 30,000 orang hilang pekerjaan setiap tahun akibat diberhentikan dan keadaan tersebut tentunya akan memberi impak yang besar kepada individu terlibat.

Di negara kita, banyak pihak yang prihatin terhadap masalah itu telah menganjurkan pelbagai program khas sebagai usaha membantu mereka yang menganggur mendapatkan pekerjaan.

Sebagai contoh, sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), Kumpulan SKALI telah mengambil inisiatif menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada golongan penganggur serta para graduan.

Diasaskan pada tahun 1997, syarikat yang berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) itu mempunyai kepakaran dalam bidang infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan penyelesaian e-perniagaan.

Di samping itu, mereka turut menawarkan perkhidmatan lain seperti operasi pusat data Internet, aplikasi web serta konsultasi penyelesaian bidang teknologi.

Perkhidmatan utama kendalian Kumpulan SKALI adalah Perkhidmatan Pengurusan Portal (MPS) yang merupakan projek pengendalian laman web kerajaan di bawah satu standard rangka kerja teknologi.

Projek MPS sebenarnya telah mendapat kontrak pelaksanaan selama enam tahun daripada kerajaan Malaysia dan telah pun memulakan fasa pertamanya pada Oktober 2007.

Pelaksanaan fasa pertama MPS menyaksikan SKALI membangun dan menyelenggara 152 laman web yang mana 50 daripadanya untuk kementerian dan 102 lagi bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia dan juga Labuan.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Saiful Khairi Zainuddin, MPS sebenarnya merupakan projek pembangunan dan penyelenggaraan laman web kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan secara kolektif bagi penyampaian maklumat lebih mudah kepada orang awam.

''Projek ini secara tidak langsung dapat membantu memajukan aplikasi digital yang ditawarkan oleh perkhidmatan e-kerajaan.

''Menerusi pengkhususan seperti ini, ia akan memberi peluang kepada pihak pentadbiran untuk memberi tumpuan kepada isu yang lebih kritikal berbanding pengurusan laman web,'' katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, konsep MPS itu turut mendapat sambutan dari negara-negara seperti Brunei, Arab Saudi, Kuwait dan Jordan untuk melaksanakan program yang sama.

Apa yang menarik mengenai MPS, ia memberi fokus kepada pembangunan dalam tiga teras utama iaitu berkaitan kluster IT, kemudahan pengendalian dan penyelesaian.

Selain itu, MPS turut prihatin terhadap golongan kurang upaya menerusi penyediaan pilihan paparan khas bagi membolehkan individu yang mengidap kecacatan seperti rabun jauh atau rabun dekat boleh melayari laman web terlibat.

Bagi memastikan laman web yang dikendalikan itu diselenggara dengan baik, pihak Kumpulan SKALI telah memperkenalkan program latihan bagi mewujudkan lebih ramai usahawan tekno serta tenaga pekerja mahir dalam bidang IT.

Program yang diberi nama Perintis dan Pembaharuan Pengetahuan Ekonomi SKALI (SPIKE) itu telah dilancarkan pada tahun 2007 dengan matlamat menawarkan latihan komprehensif dan praktikal dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sementara itu, Pengarah Pembanguan Organisasi SKALI untuk program MPS, Rosli Mohd. Said berkata, MPS memberi fokus kepada pembangunan model insan di samping mengetengahkan modul berkaitan sosial dan ekonomi.

''Antara golongan yang disasarkan untuk menyertai program ini adalah pelajar universiti, graduan menganggur, golongan profesional dan juga individu yang berminat untuk menjadi usahawan ICT.

''Selama tiga bulan ia dijalankan, para peserta akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti multimedia dan perniagaan, pengaturcaraan dan rangkaian IT,'' katanya.

Di samping itu, mereka turut diberi latihan berkaitan kemahiran seperti pengurusan projek, keusahawanan, kepimpinan, penyelesaian pembangunan serta kawalan kualiti

Apa yang menarik, para peserta akan menerima bayaran elaun sebanyak RM500 sebulan selain sijil tamat pengajian serta jaminan pekerjaan di 16 syarikat ICT tempatan dan 152 rangkaian pelanggan yang bekerjasama dengan SKALI.

Sehingga kini, program SPIKE yang mempunyai 12 orang tenaga pelajar telah melatih seramai lebih 420 peserta di tiga pusat latihannya di Kuala Lumpur, Terengganu dan juga Perak.

Menarik mengenai SPIKE, ia telah membuka sebanyak lebih kurang 600 peluang pekerjaan kepada masyarakat pada pelaksanaan MPS fasa pertama.

Untuk fasa keduanya tahun ini, Kumpulan SKALI merancang untuk mengambil 1,000 lagi kakitangan untuk berkhidmat di industri ICT dengan memberi fokus kepada graduan yang menganggur.

Menurut beberapa orang pelatih yang ditemui, peluang menyertai SPIKE seharusnya tidak dilepaskan kerana ia bakal memberi pengalaman yang cukup berharga.

Menurut Rohaya Md Jani, 28, selain kemahiran secara teknikal, program tersebut turut memberi kepercayaan kepada pelatih menjalankan tugas sebagai seorang usahawan ICT sebenar bermula dari peringkat awal sehingga akhir.

''Kami diberi peluang untuk bertemu sendiri dengan klien untuk berbincang tentang keperluan dan rekaan laman web yang mereka inginkan.

''Sepanjang program berjalan, kami juga di ajar untuk menjalankan sesuatu tugasan secara berkumpulan sebelum dibentangkan kepada tenaga pengajar,'' jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pelatih, Engku Ahmad Nazri Engku Ariff, 30, memberitahu, seseorang pelatih yang telah berjaya juga akan terus di pantau dan menerima bimbingan lanjutan.

''Walaupun telah berjaya diterima bekerja di industri ICT, pihak SKALI masih lagi menawarkan bantuan dari semasa ke semasa agar pelatih terus menunjukkan prestasi cemerlang.

Mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh melayari laman web www.spike.com.my untuk mengisi borang sebelum menghadiri sesi temuduga.

Secara keseluruhannya, penawaran program sedemikian sangatlah dialu-alukan dalam usaha membantu golongan penganggur menceburi bidang ICT bagi jaminan masa depan mereka.



0 comments: