Tuesday, April 7, 2009

Pengurusan data untuk IKS


PENERAJU dan pembekal komunikasi teknologi maklumat (IT), Fujitsu Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelancaran rangkaian storan (NAS) khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia.

Dengan tawaran pusat data berbentuk kotak kompak, Primergy NX650 sememangnya sesuai diaplikasikan oleh pengusaha IKS bagi tujuan penyelesaian storan berasaskan platform Windows.

Konfigurasi pelayan NX650 diintegrasikan bersama quad-core Primergy BX620 S4 dan Windows Storage Server 2003 R2.

Ia menawarkan memori utama empat gigabait (GB), pemacu cakera keras (HDD) 36GB selain pemprosesan tambahan 8GB.

Sementara storan NX650 pula menawarkan tiga HDD 146GB dan juga pemilihan lima pemacu untuk kapasiti penyimpanan maksimum sehingga 730GB.

Apa yang menarik, untuk sistem sub penyimpanan, kapasitinya boleh dipertingkatkan sehingga 7.4 terabit (TB).

Antara ciri lain pada produk berkenaan adalah seperti sokongan dan pemulihan data pantas, integrasi storan pusat serta pengurusan konsol berasaskan web mudah.

Unit NAS juga boleh diselaraskan dengan pelbagai konfigurasi untuk disesuaikan bersama sistem sedia ada menerusi fungsi plug and play.

Menurut Pengarah Kanan, Sistem Perusahaan Teknologi Fujitsu Malaysia, Adrian Loh, pengenalan pusat data tersebut dapat memenuhi keperluan pengguna terhadap medium storan yang tidak begitu kompleks.

Primergy NX650 NAS kini boleh diperolehi di negara-negara ASEAN termasuk Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan juga Vietnam.

Maklumat lanjut terdapat di laman web http://my.fujitsu.comn atau menghubungi talian 03-8318 3700.


0 comments: