Tuesday, April 7, 2009

Kaspersky Lab untuk pelanggan Asia Selatan

PERMINTAAN yang tinggi terhadap aktiviti membeli-belah secara dalam talian telah mendorong syarikat pengurusan sekuriti teknologi maklumat, Kaspersky Lab untuk membuka platform perkhidmatannya secara dalam talian.

Memberi fokus kepada pelanggan di Asia Selatan, pembukaan stor yang berpengkalan di Malaysia itu merupakan strategi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam menghadapi kelembapan ekonomi.

Perkhidmatan yang diberi nama The Antivirus365.net atau The eStore itu telah mula dibuka pada 17 Februari lalu untuk aktiviti kawalan dan pengurusan di 11 buah negara iaitu Myanmar , Brunei, Kemboja, Timor Timur, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menurut Pengarah Urusan Kaspersky Lab Asia Pasifik, Harry Cheung, pendekatan dalam talian yang diperkenalkan adalah untuk menawarkan saluran jualan yang lebih mudah kepada pelanggan di seluruh negara.

''Ia merupakan misi kami untuk memastikan produk-produk jualan mudah untuk diperolehi selain memberi penjimatan dari segi masa dan kos,'' katanya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh eStore adalah seperti Kaspersky Internet Security, Kaspersky Anti-Virus, Kaspersky Mobile Security, Kaspersky Small Office Security selain memperbaharui lesen perisian secara dalam talian.

Di samping jualan, platform itu turut menawarkan khidmat sokongan pelanggan komprehensif, pertanyaan melalui laman sembang, sokongan teknikal melalui e-mel, telefon dan forum, muat turun perisian percubaan secara percuma dan pengumuman maklumat virus terkini.

Apa yang menarik, pengguna boleh membuat pembayaran mengikut nilai mata wang negara mereka sendiri.

Cara pembayaran pula boleh dilakukan menerusi perbankan elektronik, paypal, kad penebusan mata serta khidmat pesanan ringkas (SMS).

0 comments: