Tuesday, April 7, 2009

Alcatel raih kontrak Ethernet dengan TM

ALCATEL Lucent baru-baru ini mengumumkan kejayaannya meraih kontrak bernilai RM28 juta untuk meluaskan rangkaian Ethernet 10 Gigabit sedia ada Telekom Malaysia (TM).

Kontrak tersebut akan menyaksikan peluasan rangkaian di kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia, iaitu dua daripada kawasan paling padat dengan penduduk di negara ini, dan sekali gus menyokong matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara jalur lebar.

Penyelesaian Alcatel-Lucent akan membolehkan TM menawarkan Talian Pajak Maya (VLL) dan perkhidmatan LAN Persendirian Maya (VPLS) kepada pelanggan perniagaannya.

Rangkaian generasi baru ini juga akan membentuk landasan untuk menggabungkan gerbang capaian generasi akan datang (NGN) TM dan IPDSLAM bagi perkhidmatan masa depan, termasuk triple-play, membolehkan TM menawarkan perkhidmatan lanjutan gelombang seterusnya dengan pelaburan tambahan yang kecil.

Rakan niaga tempatan Alcatel-Lucent iaitu Airstar (M) Sdn. Bhd. akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyenggaraan.

Airstar ialah sebuah syarikat dengan status bumiputera dan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang mengambil bahagian secara aktif dalam projek pembangunan MSC dan juga giat melibatkan diri dalam industri telekomunikasi.

Ia merupakan antara kumpulan syarikat Malaysia yang pertama untuk memperolehi Skim Geran R&D MSC (MGS) yang diluluskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (ketika itu) pada 2002.

Sementara itu, kontrak berkenaan menyusuli perjanjian tiga tahun yang dimeterai oleh Alcatel-Lucent dan Airstar pada 2006.

Pegawai Kanan Negara bagi Alcatel-Lucent Malaysia Patrick Veron, penyelesaian Alcatel-Lucent memberikan asas kepada TM untuk menyokong sasaran kerajaan menjadikan kemudahan jalur lebar tersedia di seluruh negara, justeru mewujudkan negara yang lebih kompetitif.

''Dengan menggunakan infrastruktur IP yang boleh dipercayai dan bersepadu, TM boleh memenuhi permintaan perniagaan hari ini yang mengendalikan aplikasi sangat penting yang memerlukan lebar jalur yang tinggi,''ujarnya.

Kontrak tersebut kata beliau, mengukuhkan kedudukan Airstar dan juga Alcatel-Lucent sebagai rakan teknologi penting dan pembekal kepada TM.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Airstar, Zulkifli Osman, penyelesaian IP boleh digabungkan dengan kepakaran ICT Airstar untuk menyokong projek transformasi rangkaian tersebut.

Alcatel-Lucent akan menggunakan portfolio peneraju industri IP/MPLS yang merangkumi Penghala Perkhidmatan 7750, Suis Perkhidmatan Ethernet 7450, Suis Capaian Perkhidmatan 7250 dan Service Awareness Manager 5620.

Dibina menggunakan infrastruktur IP bersepadu, penyelesaian berasaskan IP Alcatel-Lucent direka untuk menyokong berbilang jenis perkhidmatan dengan skala unggul serta kesediaan perkhidmatan hierarki dan berkualiti, yang mana ia penting untuk menjamin Perjanjian Tahap Perkhidmatan ketat bagi data perniagaan penting.

0 comments: