Tuesday, March 24, 2009

Kawal dengan pelbagai sentuhan


MENERAJUI penghasilan komputer riba dengan fungsi sentuhan, Dell baru-baru tampil dengan model Latitude XT2 menerusi peningkatan dari segi prestasi dan juga sekuriti.

Kelebihan pada fungsi sentuhan itu mampu menerima pelbagai gerakan natural seperti skrol, leretan, pusingan dan pemfokusan dengan disokong oleh aplikasi produktiviti.

Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna untuk mengaplikasikan sepenuhnya teknologi sentuhan skrin yang ditawarkannya.

Selain itu, fungsi berkenaan juga menawarkan ketepatan yang tinggi untuk setiap sentuhan walaupun menyentuh ikon yang kecil tanpa berlaku sebarang gangguan atau kesilapan.

Menurut Pengarah Produk Kumpulan Dell, Brett Mc Anally, pengenalan kepada produk berkenaan merupakan komitmen pihaknya dalam memberi revolusi dan pengalaman mobiliti terbaik kepada pengguna.

"Berbanding generasi sebelum ini, pelbagai peningkatan prestasi diperkenalkan pada Latitude XT2 dalam usaha membantu pengurusan aplikasi yang lebih baik,'' katanya.

Dari segi rekaannya pula, ia mempunyai banyak kelebihan seperti lebih ringan dan juga nipis serta mudah untuk di bawa ke mana-mana.

Kuasa bateri pada Latitude XT2 juga mampu bertahan sehingga 11 jam kerana ia dilengkapi dengan enam sel bateri selain sembilan sel sebagai pilihan.

Ciri lainnya adalah seperti didatangkan dengan aplikasi pilihan Dell ProSupport, rekaan LCD dengan antena wayarles, disokong oleh pemacu SATA serta dilengkapi sistem sekuriti Dell ControlVault dan ControlPoint Security Manager.

Bagi memberi fleksibiliti kepada pengguna, model itu turut ditawarkan dengan papan kekunci saiz penuh dan pen penyentuh.

Latitude XT2 ditawarkan pada harga RM7,500 dan maklumat mengenainya boleh diperolehi di laman web www.dell.com/latitude.


0 comments: