Sunday, November 30, 2008

Efektif dan selamat

FORTINET nama yang tidak asing lagi sebagai pembekal penyelesaian pengurusan ancaman bersepadu (UTM) telah berusaha untuk memantapkan lagi servis dan perkhidmatannya ke seluruh dunia menerusi kerjasama dengan syarikat Dimensions Data.

Hasil kerjasama global itu, Fortinet melantik serta mengiktiraf Dimensions Data sebagai organisasi yang bertauliah bagi menguruskan rangkaian keselamatan Fortinet di seluruh dunia.

Ini termasuk urusan seperti pengintegrasian, pemasangan, dan pemberian khidmat nasihat turut dijalankan oleh Dimension Data untuk pelanggan Fortinet pada masa akan datang.

Ini kerana, Dimension Data yang diyakini berkebolehan dan berkemampuan untuk menguruskan rangkaian dengan efisien dipercayai mampu membantu pelanggan untuk menjimatkan kos secara efektif sekali gus menawarkan tahap infrastruktur yang lebih selamat.

Melalui perjanjian tersebut, Dimensions Data kini dipertanggungjawabkan untuk beroperasi di 47 negara dari lima benua berlainan di seluruh dunia.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh IDC sebuah firma penganalisis pasaran IT, pasaran UTM mencatatkan sebanyak RM3.8 bilion tahun lepas dan dijangka meningkat sebanyak 26 peratus setiap tahun antara 2007 dan 2011.

Ini menunjukkan segmen UTM mempunyai peningkatan yang paling pantas jika dibandingkan dengan segmen pasaran yang lain.

Dalam pada itu, menurut Presiden Fortinet, Ken Xie, melalui kerjasama tersebut, diyakini pelanggan di seluruh dunia akan lebih berkeyakinan untuk menggunakan rangkaian infrastruktur yang ditawarkan syarikatnya.

Thursday, November 27, 2008

Bunyi pelbagai arah


MENYAMBUNGKAN alat pembesar suara luaran terhadap komputer pengguna jelas mempertingkatkan lagi kualiti serta pengalaman audio pengguna.

Ini kerana kesan bunyi audio yang dihasilkan menerusi pembesar suara terbina dalam komputer dianggap tidak memadai untuk memenuhi keperluan audio pengguna kerana bunyi yang dihasilkan nyata perlahan dan tidak jelas.

Justeru, Logitech pembangun perkakas audio dan komputer global telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pembesar suara stereo terbarunya iaitu Logitech Z-5 yang diyakini mampu menyerlahkan lagi pengalaman audio pengguna masa kini.

Z-5 yang dibangunkan untuk berfungsi menala bunyi pelbagai arah (omnidirectional) itu dikatakan berkemampuan dalam memberikan pengalaman audio terbaik dengan memenuhi kepadatan bunyi pada seluruh ruang bilik.

Tidak seperti pembesar suara komputer standard, Z-5 membawa kelainan dengan kehadiran sistem akustik omnidirectional yang memastikan bunyi tidak hanya difokuskan pada satu arah sahaja.

Pada kebiasaannya, ciri istimewa ini boleh diterapkan pada pembesar-pembesar suara yang digunakan untuk sistem teater rumah.

Lebih menarik, Z-5 bukan sahaja menghasilkan bunyi pada arah 180 darjah, malah ia turut berkeupayaan untuk menala bunyi hampir mencapai 360 darjah.

Selain berupaya menghasilkan kesan audio yang berkualiti, penggunaannya yang fleksibel membolehkan Z-5 disambungkan kepada mana-mana komputer yang mempunyai sambungan USB dan ini juga termasuk rangkaian komputer Mac.

Dengan itu, tidak kira sama ada seseorang itu sedang menikmati lagu kegemaran mahupun menonton video pada laman web YouTube, pengguna pasti berpeluang untuk menikmati kesan bunyi yang jelas, terang dan berkualiti selain gangguan bunyi yang minimum.

Sebagai tambahan, model pembesar suara Z-5 ini hadir dengan alat kawalan jauh dan sekali gus membolehkan pengguna untuk mengawal tahap bunyi dari jauh dengan bebas.

Kini, Z-5 sudah boleh diperoleh di pasaran tempatan dengan harga RM459.

Maklumat dan spesifikasi lengkap produk boleh didapati dengan melayari laman web www.logitech.com.


Friday, November 21, 2008

Papan hitam elektronik


PENDIDIKAN zaman dahulu memerlukan guru menggunakan kapur dan papan hitam sebagai medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Teknik tersebut mengalami pembaharuan apabila papan putih dan pen marker diperkenalkan sebagai pendekatan pengajaran yang lebih moden dan mudah.

Namun, pernahkah anda membayangkan bahawa papan hitam yang pernah digunakan dahulu, kini mampu berfungsi untuk tujuan lebih dari sekadar menulis.

‘Papan hitam’ yang dimaksudkan adalah sebuah skrin interaktif yang menawarkan gabungan pelbagai aplikasi seperti tulisan, visual dan juga bunyi.

Kemajuan tersebut telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat penyelesaian teknologi pendidikan, E-One Technology Sdn. Bhd.

Dengan skrin luas bersaiz 36, 42, 48, 56 dan 65 inci, ia boleh digunakan untuk paparan secara menegak atau pun melintang kepada audiens seramai lebih kurang 40 orang.

Selain didatangkan dengan skrin beresolusi tinggi, aplikasi skrin sentuh pada produk tersebut juga membolehkan pengguna mencapai fail atau mengakses sambungan Internet hanya melalui sentuhan mudah.

Untuk menulis atau memasukkan input pula, pengguna perlu menggerakkan jari pada permukaan skrin dan menyentuh hanya satu butang untuk memadamnya.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Johnson Lew, produk yang mudah dikendalikan ini mampu menggantikan fungsi projektor yang sering kali mengalami masalah seperti kurang cahaya atau mempunyai bayangan pada tulisan.

‘‘Selain digunakan untuk tujuan pendidikan, ia juga boleh diimplementasikan di pejabat-pejabat untuk sesi taklimat atau mesyuarat,’’ katanya pada Pameran dan Persidangan MyBroadband 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan menggunakan perisian Accupresenter, skrin unik itu juga dilengkapi dengan kamera web yang dapat merakam sesi pengajaran ketika di dalam kelas.

Kandungan video tersebut kemudiannya boleh dimuat naik ke pelayan internet untuk rujukan para pelajar.

Apa yang menarik, skrin berkenaan menawarkan paparan yang jelas tanpa gangguan sebarang pantulan serta permukaannya bersifat tidak mudah calar dan tahan lasak.

Selain aplikasi multimedia, skrin tersebut turut dilengkapi dengan beberapa perisian asas untuk kemudahan pendidikan seperti Microsoft Office.

Produk yang dibangunkan di Taiwan ini bakal dipasarkan pada harga permulaan RM20,000.

Monitor LCD kaya warna


VIEWSONIC Corp., melebarkan lagi rangkaian produk paparan monitor komputernya dengan memperkenalkan monitor LCD 22 inci yang dipacu dengan sistem pemproses berkelajuan 120Hz.

Berteraskan sistem pemprosesan berteknologi 120Hz, pengguna kini berpeluang untuk menikmati imej paparan yang kaya dengan warna, tanpa kabur dan prestasi unggul ketika melayari tontonan multimedia.

Lebih menarik, menerusi penyepaduan teknologi NVIDIA GeForce Stereoscopic 3D gaming, para penggemar permainan komputer pasti teruja dengan paparan tiga dimensi yang bakal dipaparkan.

Ini kerana monitor tersebut mempamerkan prestasi cemerlang dengan kemampuan memberikan masa tindak balas yang begitu pantas iaitu secepat tiga milisesaat (ms).

Tindak balas pantas itu juga membuatkan sebarang aksi pantas yang dipaparkan tidak tersangkut-sangkut dan ini secara tidak langsung membuatkan imej paparan menjadi terang, jelas dan licin.

Monitor berteknologi tinggi ini disasarkan penggunaannya kepada golongan yang gemar bermain permainan komputer, menonton paparan multimedia seperti cerita animasi dan hiburan serta para pereka grafik.

Selain itu, monitor itu turut dilengkapi dengan sistem pembesar suara stereo 2Wx2 yang terbina dalam yang pasti menjanjikan kesan audio yang terbaik kepada pengguna.

Di samping itu juga, monitor tersebut turut didatangkan dengan dua input digital Dual Link DVI khusus bagi pengguna untuk menyelaraskan gajet lain terhadap monitor itu.

Dalam pada itu, prestasi monitor tersebut dimantapkan dengan penawaran resolusi yang mencapai 1,680 x 1,050 megapiksel, nisbah kontras 1000:1 serta sudut tontonan yang luas.

Bagaimanapun, model bagi monitor ini masih belum boleh didapati di pasaran tempatan dan sekiranya ingin mendapatkan maklumat serta spesifikasi lengkap mengenai produk, ia boleh didapati dengan melayari laman web ap.viewsonic.com/my.

Wednesday, November 12, 2008

Peranti WiMAX dari Motorola


CAPAIAN perkhidmatan Internet di rumah sememangnya diperlukan untuk melaksanakan tugasan harian atau bersosial secara maya.

Bagi merealisasikan tujuan itu, kebanyakan kediaman kini sudah dilengkapi dengan capaian aplikasi berkenaan.

Tidak mahu ketinggalan dalam kemajuan tersebut, syarikat pembangunan teknologi komunikasi, Motorola baru-baru ini telah memperkenalkan penyelesaian sambungan Saling Kebolehoperasian Seluruh Dunia bagi Akses Gelombang Mikro (WiMAX) berkelajuan tinggi.

Motorola WiMAX CPEi siri 300 untuk komputer peribadi menawarkan pengguna sambungan Internet tanpa wayar yang cepat, mudah, tidak memerlukan konfigurasi serta tiada campur tangan operator.

Mengambil inspirasi daripada daripada kejayaan CPEi siri 200, model tersebut dilengkapi dengan Internet Protokol Suara (VoIP) melalui dua port RJ11 untuk sambungan kepada talian telefon.

Produk tersebut diperkenalkan oleh Motorola sempena Pameran dan Persidangan My Broadband 2008, baru-baru ini. .

CPEi 300 boleh digunakan untuk sambungan perkhidmatan Internet dan juga komunikasi suara secara serentak.

Ia turut membenarkan pengguna melaksanakan perkhidmatan pertukaran data dan suara dalam satu pakej yang sama.

CPEi 300 mempunyai kelebihan berfungsi secara plug-and-play yang mampu mengesan liputan secara automatik untuk melaksanakan proses sambungan.

Dengan prestasi kelas radio, liputan rangkaian pada model tersebut bergantung kepada kuasa dan sensitiviti antena menerima isyarat daripada penghantar.

Dengan gabungan multi antena juga, ia menawarkan penyelesaian liputan terbaik dalam kelasnya.

Bagi tujuan keselamatan pula, ia disokong oleh perlindungan protokol bagi melindungi pengguna daripada sebarang ancaman.

Sementara itu, Motorola turut memperkenalkan penyelesaian WiMAX jalur lebar tanpa wayar untuk sambungan mobiliti yang lebih fleksibel.

Kad PCCw 100 mudah untuk diaplikasikan kerana ia sesuai untuk semua sistem operasi seperti Windows XP, SP2 dan Vista.

Kelebihan pada PCCw 100 adalah ia mempunyai rangkaian liputan yang luas dan sensitif tetapi menggunakan kuasa yang rendah.

PC berkuasa dan kos efektif


PEMBEKAL teknologi komputer peribadi terkenal, Lenovo baru-baru ini memperkenalkan komputer ThinkCentre A62 dengan tawaran penyelesaian penjimatan kos dan juga prestasi yang stabil.

Dilengkapi pelbagai ciri menarik, komputer tersebut juga menerajui perkhidmatan dan sokongan industri serta bersifat mesra alam sekitar.

ThinkCentre A62 merupakan komputer peribadi terkini yang dilengkapi penyelesaian pengkomputeran perniagaan dengan kos yang efektif.

Menurut Pengarah Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, komputer tersebut sesuai diaplikasikan oleh bahagian teknologi maklumat (IT) untuk sesebuah syarikat.

‘‘Komputer ini dibangunkan untuk melengkapkan pelanggan dengan aplikasi komputer peribadi yang mempunyai jangka hayat panjang.

‘‘Ia menawarkan nilai tinggi dari segi prestasi, pengurusan dan tanggungjawab kepada alam sekitar,’’ katanya.

Dari segi fungsi pula, komputer berkenaan membekalkan perkhidmatan yang stabil untuk kelas dan komuniti perniagaan.

Dengan pengendalian mudah, pengguna akan dapat menjalankan kerja-kerja seperti mengurus, mengaudit dan mengemaskini sistem.

Model tersebut turut dilengkapi dengan teknologi ThinkVantage yang dapat meningkatkan produktiviti pengurusan secara efektif.

Ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada kakitangan IT memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu kritikal yang lain.

Implementasi komponen TVT pada komputer itu juga membenarkan proses membaikpulih dijalankan dalam masa yang singkat tanpa mengganggu sebarang aplikasi atau data.

Apa yang menarik, aplikasi komputer berkenaan juga dapat menjimatkan tenaga sehingga 40 peratus, selain 35 peratus rekaan bahannya boleh dikitar semula.

‘‘Komputer peribadi Lenovo ThinkCentre A62 ini juga mampu memenuhi keperluan organisasi untuk mencapai tahap produktiviti tertentu,’’ jelasnya.

Untuk prestasi grafik pula, ia dimajukan dengan teknologi DirectX10 Onboard yang disokong oleh pilihan DisplayPort4.

Ia juga didatangkan dengan monitor ThinkVision L197w yang dapat menjimatkan kuasa selain tawaran jaminan selama tiga tahun.

Monday, November 10, 2008

Pikom perluas program ke luar negara



PERSATUAN Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menggariskan perancangan jangka panjang ICT di samping mempromosi Finishing School Programme.

Langkah itu bagi mengembangkan industri ICT hingga ke luar negara, diikuti beberapa kerjasama erat dengan persatuan industri ICT yang lain, selain turut bertindak sebagai sekretariat WITSA.

Pengerusinya, David Wong Nan Fay, berkata kerjasama yang dijalin mampu melonjakkan Pikom ke luar negara dengan mengadakan pertukaran idea dan teknologi dalam industri ICT bersama negara luar.

Pikom berusaha membantu syarikat ICT tempatan memasuki pasaran global ini serta memperkenalkan servis, barangan ICT tempatan ke luar negara memandangkan Malaysia masih lagi berada di kedudukan terendah antara negara lain.

“Pikom berharap mampu mengembangkan saiz industri daripada RM40 bilion pada 2007 kepada RM80 bilion pada 2012.

“Ia mampu dicapai dengan perkembangan lebih 15 peratus industri ICT dengan meluaskan urus niaga import dan eksport pada masa yang sama meningkatkan pencapaian syarikat ICT tempatan sekurang-kurangnya RM10 bilion,” kata beliau pada mesyuarat Agung Pikom di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Presiden Pikom, CJ Ang berkata, Pikom mensasarkan penubuhan National ICT Repository (NIR) iaitu sebagai pusat yang menjadi tempat rujukan, penyelidikan, penyimpanan data dan pelbagai perkara berkaitan dengan ICT.

“Ketika ini, NIR masih berada dalam peringkat percubaan dibantu seorang pakar untuk mengenal pasti keperluan pusat terbabit. NIR berkemungkinan beroperasi pada 2009 atau 2010,” katanya.

Pada mesyuarat ke-22 itu, David sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Pikom bagi 2008/2009 manakala dua muka baru ahli majlis Pikom iaitu Pengurus VAIO bahagian Pemasaran Produk, Sony Malaysia, Yoshinori Nakajima dan Pengurus Besar bahagian Inovasi Perniagaan, Celcom, Jeffery Ooi.

Wednesday, November 5, 2008

Daftar Keahlian Anda






























Nama:




Alamat E-mail:




URL blog/Website




Jenis Kategori Blog/Website Anda:

Politik

Ekonomi

Rakyat

Peribadi

Berita Terkini

Teknologi

Seni

Sukan








form mail

Profil LombongIT

Blog LombongIT merupakan sebuah blog komputer berbahasa melayu.Mengandungi tips-tips dan informasi terkini berkaitan dunia Komputer.Tujuan asas ditubuhkan adalah saya sekadar merasai pengalaman dalam dunia Blogger kerana saya sendiri pun susah nak update berita dan laman terkini untuk pembaca lombongIT.tetapi apabila merasakan yang blog LombongIT telah mendapat sambutan ramai dari pembaca,saya tekad untuk meneruskan pengurusan terhadap blog ini dan akan sentiasa mengupdate berita-berita atau tutorial yang terbaru di Blog ini supaya tidak mengecewakan para pelawat dan pembaca yang singgah di blog ini.

Profil Admin

Saya seorang yang periang,berumur dalam linkungan 20an lagi dan sekarang sedang menuntut di ADTEC batu pahat mengambil jurusan Dip. Tek. Komputer Rangkaian.akan menghabiskan pembelajaran pada bulan 6 tahun 2009.Mempunyai satu laman web komuniti yang dibangunkan bersama rakan dan juga mempunyai 2 blog termasuk LombongIT ini.
Dibawah adalah senarai Laman web dan blog
Portal Komuniti teknologi Komputer
Blog Informasi dan Muat Turun
Friendster Admin


rasanya setakat tu je kot profil yang dapat dikongsi kepada pembaca.Jika pelawat ingin menghubungi admin,boleh berhubung melalui YM :
ID : aw501
ataupun boleh email pada Admin dialamat :
meteora_hackers@yahoo.com